Kuala Tahan ialah pintu masuk utama ke Taman Negara Pahang — kampung di tebing Sungai Tembeling, bertentangan dengan Jeti Taman Negara. Jarak dari Kuala Lumpur lebih kurang 240–290 km, memakan masa 3.5 hingga 4.5 jam ikut cara anda pilih.
Halaman ni kumpulkan semua pilihan — van, pandu sendiri, bas, kereta api dan bot — supaya anda boleh pilih yang paling ngam dengan bajet dan masa.
Ringkasan Semua Pilihan
| Cara | Masa | Anggaran Kos | Sesuai untuk |
|---|---|---|---|
| Van shuttle KL → Kuala Tahan | 3.5–4.5 jam | RM95 sehala / orang | Tak memandu, terus sampai |
| Private van dari KL | 3.5–4.5 jam | RM1,900–2,000 pergi balik / kenderaan | Kumpulan, keluarga besar, syarikat |
| Pandu sendiri | 3.5–4 jam | RM40–65 minyak & tol sehala | Keluarga, fleksibel |
| Bas ekspres + teksi | 5–6 jam | RM40–75 keseluruhan | Bajet, backpacker |
| Kereta api + teksi | Ikut jadual KTM | RM30–60 keseluruhan | Dari utara / pantai timur |
| Bot dari Jeti Kuala Tembeling | 2–3 jam bot | Sekitar RM70 sehala | Pengalaman sungai, pemandangan |
Kos di atas adalah anggaran dan berubah ikut operator, musim dan harga minyak. Sila sahkan dengan pengendali sebelum bertolak.
1. Van Dari Kuala Lumpur (Paling Mudah)
Van Shuttle — Kongsi Dengan Penumpang Lain
Ini pilihan paling ramai orang ambil sebab satu kenderaan terus sampai ke kampung Kuala Tahan — tak payah tukar-tukar pengangkutan.
- Pickup: kawasan Pasar Seni, KL (bersebelahan LRT Pasar Seni)
- Bertolak: sekitar 8:30 pagi — sampai check-in 30 minit awal
- Masa perjalanan: ±3.5–4.5 jam ikut trafik dan hentian rehat
- Harga: RM95 sehala seorang
Kami sediakan van shuttle ni sendiri. Butiran penuh, jadual dan cara tempah ada di halaman Van Shuttle Kuala Lumpur ⇄ Kuala Tahan.
Private Van — Khas Untuk Kumpulan Anda
Kalau datang beramai-ramai dan tak mahu kongsi van dengan orang lain, kami boleh aturkan private van dari Kuala Lumpur.
- Harga: anggaran RM1,900 hingga RM2,000 pergi balik — harga sekenderaan, bukan seorang
- Bergantung pada: jenis dan saiz van yang dipilih
- Kelebihan: masa bertolak ikut anda, pickup di lokasi anda, tak payah tunggu penumpang lain
Bila dikongsi satu kumpulan, kos seorang selalunya setanding atau lebih murah daripada tiket shuttle pergi balik — tapi anda dapat kawalan penuh jadual. Sesuai untuk rombongan keluarga, pelajar dan syarikat.
WhatsApp kami dengan tarikh, bilangan orang dan lokasi pickup, kami akan berikan sebut harga tepat ikut saiz van yang sesuai.
2. Pandu Sendiri
Paling fleksibel kalau datang ramai-ramai — kos minyak dikongsi jadi murah seorang.
Laluan disyorkan
Lebuhraya Karak (E8) dari KL → sambung ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) → keluar di tol Temerloh atau Lancang → jalan persekutuan ke Jerantut → Kuala Tahan.
Tol laluan ni tiada RFID. Pastikan kad Touch 'n Go anda ada baki cukup, atau guna SmartTAG. Jangan bergantung pada RFID sebab plaza tol di laluan ini belum menerimanya.
Elak keluar di susur Mempaga. Jalan selepas tu tak berapa elok dan tak jimat masa pun. Ikut je laluan Temerloh atau Lancang.
Perkara nak tahu
- Bertolak: sebelum 7–8 pagi untuk elak sesak dan sampai sebelum tengah hari
- Kos: anggaran RM40–65 minyak dan tol sehala
- Hentian rehat: R&R Bentong atau Temerloh — boleh solat dan makan
- Parking: ada tempat letak kereta di kampung Kuala Tahan berhampiran jeti
- Sewa kereta: bermula sekitar RM86 sehari untuk kereta kecil
3. Bas Ekspres Dari Kuala Lumpur
Pilihan paling jimat, tapi kena tukar kenderaan sekali.
- KL (TBS / Terminal Bersepadu Selatan) → Jerantut — sekitar 3–4 jam. Ada beberapa trip setiap hari, tempah awal masa cuti sekolah.
- Jerantut → Kuala Tahan — bas tempatan atau teksi, sekitar 1 hingga 1 jam 15 minit. Teksi biasanya dikira sekereta, jadi lagi berbaloi kalau kongsi.
Bas tempatan Jerantut ke Kuala Tahan trip dia terhad — kalau sampai Jerantut lewat petang, kemungkinan besar kena naik teksi. Rancang masa ketibaan awal sikit.
4. Kereta Api KTM Ke Jerantut
Jerantut ada stesen di laluan pantai timur KTM. Sesuai kalau anda datang dari Gemas, Kuala Lipis, Gua Musang atau arah Kelantan.
Dari stesen Jerantut, sambung dengan teksi atau bas tempatan ke Kuala Tahan seperti di atas. Semak jadual terkini di kaunter KTM sebab masa perjalanan boleh berubah.
5. Bot Dari Jeti Kuala Tembeling
Ini cara klasik masuk ke Taman Negara — bot panjang menyusur Sungai Tembeling selama 2 hingga 3 jam, melalui hutan, kampung dan jeram kecil.
- Titik mula: Jeti Kuala Tembeling, lebih kurang 18 km dari pekan Jerantut
- Harga: anggaran RM70 sehala seorang
- Bertolak: biasanya sekali atau dua kali sehari, waktu pagi dan tengah hari
Perkhidmatan bot bergantung pada paras air sungai dan jumlah penumpang. Waktu kemarau atau musim tengkujuh, trip boleh dibatalkan. Sahkan dengan operator sehari sebelum.
6. Dari Kuantan & Pantai Timur
Dari Kuantan, gerak ke Jerantut dahulu melalui Maran atau Temerloh — anggaran 3 jam pandu sendiri, atau naik bas ekspres ke Jerantut. Dari Jerantut sambung ke Kuala Tahan seperti biasa.
Dari Cameron Highlands pula ada perkhidmatan van terus ke Kuala Tahan, biasanya bertolak awal pagi.
Penting: Kalau Nak Ambil Day Trip
Program day trip kami bermula 9:30 pagi di Kuala Tahan. Jadi anda ada dua pilihan:
Pandu dari KL pagi hari yang sama — boleh, tapi kena bertolak awal pagi. Kira balik dari 9:30 pagi tolak 4 jam perjalanan dan masa rehat.
Bermalam sehari sebelum — kebanyakan tetamu day trip kami pilih bermalam di pekan Jerantut sebab hotel di situ lebih murah, dan pagi esoknya gerak sekitar sejam ke Kuala Tahan. Ada juga penginapan bajet dan chalet terus di kampung Kuala Tahan kalau nak dekat dengan jeti. Beritahu kami masa tempah, kami boleh cadangkan.
Soalan Lazim
Berapa lama sebenarnya dari KL ke Kuala Tahan?
Antara 3.5 hingga 4.5 jam untuk van atau pandu sendiri. Kalau naik bas dan tukar di Jerantut, kira 5 hingga 6 jam termasuk masa menunggu.
Boleh ke sampai Kuala Tahan waktu malam?
Boleh kalau pandu sendiri atau naik teksi dari Jerantut. Tapi bot menyeberang Sungai Tembeling ke jeti taman berhenti waktu malam, jadi rancang untuk terus ke penginapan di sebelah kampung.
Ada ke pengangkutan awam terus dari KLIA?
Tiada bas terus. Dari KLIA anda perlu masuk ke KL dahulu (KLIA Ekspres atau bas ke TBS), kemudian sambung dengan van, bas ekspres atau kereta api.
Perlu ke tempah pengangkutan awal?
Ya, terutamanya musim cuti sekolah, cuti umum dan musim panas Eropah antara Jun hingga Ogos. Tempat duduk van dan bas cepat penuh.
Kalau bawa beg besar macam mana?
Van dan bas boleh terima bagasi, tapi ruang terhad. Beritahu awal semasa tempah kalau ada beg besar supaya kami boleh susun tempat.
Ada tempat letak kereta yang selamat?
Ada. Kawasan letak kereta terbuka berhampiran jeti dan restoran terapung — sebahagiannya berbayar. Ada juga Kompleks Kereta Kuala Tahan, dan di situ disediakan tandas berbayar RM0.50 seorang. Elak tinggalkan barang berharga dalam kenderaan — anda boleh titipkan di pejabat kami sepanjang tempoh aktiviti.
Tak pasti cara mana paling sesuai?
WhatsApp kami — kami boleh cadangkan ikut tarikh, bilangan orang dan bajet anda. Sekali dengan susun day trip.
TME Adventure Sdn Bhd · Lesen MOTAC 11483 · Jeti Kuala Tahan, Jerantut, Pahang
Harga dan jadual dalam halaman ini adalah anggaran pada tarikh kemas kini dan tertakluk kepada perubahan operator, cuaca dan paras air sungai. Sila sahkan sebelum membuat perjalanan.
No comments:
Post a Comment